Warganegara Indonesia yang juga guru silat yang saya maksudkan adalah Tuan Haji Johanes Choeldi, pengasas ilmu Nasrul Haq. Manakala Tan Sri Abdul Samad Idris adalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk ilmu tersebut ke negara ini. Sekurang-kurangnya itulah kefahaman saya pada ketika itu. Setelah bersembang beberapa ketika dan menjamah hidangan yang disediakan tetamu-tetamu tersebut menaiki kereta arwah ayah saya bersama-sama dengan saya dan arwah ibu. Itulah adalah antara kenangan yang manis sekali bagi saya, saya menaiki satu kereta bersama-sama dengan pengasas Nasrul Haq. Kami berangkat menuju kesebuah padang sekolah. Padang sekolah tersebut adalah padang sekolah saya. Disitulah selepas itu saya bermain mewakili sekolah rendah dalam permainan bolasepak. Tetapi untuk separuh masa sahaja.
Setibanya kami di sana ramai yang telah menunggu. Wah, ramainya orang. Kalau tidak salah saya malam tersebut adalah Majlis Tamat Latihan Gelanggang Nasrul Haq Peringkat Daerah. Beberapa rakan-rakan sekolah saya kelihatan turut berada di sana. Meriah sungguh malam itu, begitu ramai sekali tetamu-tetamu yang hadir. Saya duduk di khemah tetamu bersama-sama dengan Tan Sri Samad, Tuan Haji Johanes, serta kedua-dua arwah ayah dan ibu saya. Pada zaman itu, sekiranya ada majlis-majlis yang diadakan di padang-padang awam atau sekolah ramai yang akan hadir. Tetapi sekarang ini sambutan terhadap majlis-majlis yang diadakan tidaklah semeriah seperti dulu-dulu. Mungkin disebabkan oleh terlalu banyak rancangan yang menarik yang disiarkan di Television.
Majlis dimulakan, seperti kebiasaannya, beberapa ucapan diberikan, arwah ayah memulakan ucapan beliau diikuti oleh Tan Sri Samad. Seingat saya, Tuan Haji Johanes tidak memberikan ucapannya tetapi sebaliknya merasmikan majlis. Selepas itu ketiga-ketiga mereka dibawa untuk bersalam-salaman dan kerkenalan dengan para ahli Persaudaraan. Para pesilat seingat saya pada masa itu tidak memakai uniform silat. Sebaliknya hanya memakai baju-t berwarna kelabu berlogo Nasrul Haq. Selepas bersalaman ketiga-tiga mereka balik ke khemah tetamu dan duduk di tempat masing-masing. Saya teruja, pertunjukkan akan dimulakan tidak lama lagi.
Bersambung...
1 Response to "Nasrul Haq- Bahagian 2"
Salam,Kalo di Melaka ada lg tak gelanggang nasrul haq?Ada tak guru nasrul haq di melaka?mcmana sy nk blajar ilmu ni?