05:36 | Posted in
Semasa kecil, saya selalunya akan bersama-sama dengan jiran-jiran. Kebiasaannya akan bermain, jengkek, guli, panjat pokok, bolasepak, badminton, kad gambar, serta beberapa permainan moden dan tradisional yang lainnya. Kalau tak bermain apa-apa, masa akan dihabiskan dengan bercerita. Antara cerita-cerita yang popular adalah cerita-cerita seram dan ada juga tentang silat melayu, terutamanya yang berunsur kebatinan. Cerita-cerita yang bangkit adalah tentang keupayaan panglima-panglima untuk menghilangkan diri dan juga kemampuan untuk terbang. Benarkah semua itu?

Yang menariknya sewaktu kecil, apa-apapun seakan-akan benar. Kadang-kadang saya melihat juga di udara, manalah tahu, kalau-kalau dapat tengok 'Superman'. Tapi pada masa itu, 'Superman' tidak begitu popular. Yang popular adalah 'Giant Robot', saya tidak pernah ketinggalan menyaksikannya, kecuali episod terakhir. Tetapi saya tidak ingat kenapa saya tidak menyaksikan episod terakhir tersebut, pergi jalan-jalan mungkin bersama keluarga.

Begitu juga dengan ilmu kebatinan, saya memang percaya dengan perkara-perkara tersebut. Baca ayat-ayat tertentu, boleh terbang. Baca ayat-ayat tertentu, boleh hilang dan sebagainya. Akan tetapi di kawasan sekeliling rumah saya, tidak ada gelanggang ataupun sesiapa untuk mengajarkan ataupun mendemokan perkara-perkara itu. Walaubagaimanapun, hidup diteruskan seperti biasa,bermain, bersembang dan menonton TV. Sekali-sekala arwah makcik saya buat hal, selalu kena 'rasuk'. Dia lemah semangat, ungkapan yang selalu diperkatakan oleh arwah opah.

Pada suatu malam, semasa itu, mungkin saya di dalam Darjah 4 atau 5, saya dan abang-abang saya ditanya oleh arwah ibu, "malam ni nak ikut, tak?". "Pergi mana?"Saya bertanya. "Ikut sajalah", jawab arwah ibu. Saya cakap, "nak ikut". Oleh itu saya diminta oleh arwah ibu saya untuk bersiap. Maka sayapun bersiaplah. Abang-abang saya, seingat saya tidak mahu ikut, maklumlah mereka dah besar sikit, dari saya.

Semasa menunggu untuk keluar 'jalan-jalan', ada beberapa orang tetamu yang datang kerumah. Saya kenal salah seorang daripada tetamu tersebut. Selalu keluar TV. Seorang Menteri, kalau tak salah saya pada masa itu. Orang itu adalah arwah Tan Sri Abdul Samad Idris. Seorang lagi, adalah, warganegara Indonesia tapi saya tak kenal. Saya dimaklumkan oleh arwah ibu bahawa dia adalah seorang Guru Silat. "Malam ini kita akan pergi tengok silat", kata arwah ibu.

Bersambung...

Category:
��

Comments

0 responses to "Nasrul Haq -Bhg 1"